loader image
INFO MAHA

Penganjuran terbaik MAHA 2022 catat rekod luar biasa

News

Orang ramai melihat melihat hasil pertanian Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) di Pavilion Perak pada MAHA 2022 di Serdang. - Foto Fathil Asri/BH

Selepas empat tahun tidak diadakan, penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 mencatat rekod luar biasa. Sehingga 14 Ogos seramai 1.4 juta pengunjung direkodkan termasuk mereka yang mengunjungi MAHA secara virtual sebanyak 266,321.

MAHA yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu mencatat rekod jualan sebanyak RM260 juta termasuk RM25,270,436.35 secara dalam talian. Sebanyak 33 perjanjian persefahaman (MoU) turut ditandatangani dengan nilai kewangan mencecah RM5.64 bilion.

Dari segi pembiayaan pula sebanyak RM460.8 juta dengan 2,947 permohonan direkodkan. Kesemua angka ini mengatasi rekod empat tahun sebelum ini.

Penganjuran MAHA kali ini juga berbeza, tetapi diurus dengan teliti walaupun diadakan di luar musim cuti sekolah, malah bukan juga waktu gaji. Namun, kemeriahannya tidak berkurang kerana jenama MAHA sudah dikenali umum sejak 1975 lagi.

Dalam hal ini, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah menggerakkan promosi dan publisiti MAHA 2022 ini sejak Mei 2022 di semua saluran yang ada.

Ini termasuk menubuhkan sudut MAHA 2022 di aras lobi Wisma Tani. Ia bertindak sebagai penyelaras pelbagai aktiviti dengan penyertaan semua jabatan dan agensi yang mengambil bahagian di Ekspo berkenaan.

Selain itu, promosi turut digerakkan dengan poster berkaitan MAHA dalam koc MRT laluan Kuala Lumpur – Sungai Buluh, selain dalam bas Rapid Lembah Klang, juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kempen promosi ini juga digerakkan dengan papan iklan gergasi di Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang serta di Kompleks Lembaga Perindustrian Nanas Negara di Johor Bharu.

Naratif turun harga makanan agro 

Itu tidak termasuk kerjasama strategik dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia serta kerjasama strategik dengan Perbadanan Putrajaya membuat hebahan melalui laman sesawang kementerian serta agensi di bawah MAFI.

Pusat media juga ditubuhkan pada 1 hingga 14 Ogos 2022 bagi memberi kemudahan wartawan membuat liputan, selain visual dan video disediakan untuk tujuan pelaporan, juga dokumentasi.

Penganjuran MAHA kali ini adalah terbaik dengan naratif menurunkan harga makanan agro dan memastikan sekuriti makanan selaras temanya ‘Sekuriti makanan untuk masa depan’. Mesej MAFI adalah menyeru dan mengajak Keluarga Malaysia melakukan jihad inflasi melalui kegiatan bertani di rumah.

MAHA 2022 ditutup pada 14 Ogos 2022 Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Penganjuran kali ini membawa pelbagai kenangan kepada peniaga, penggiat industri, pengunjung dan penganjur.

Yosri Abu Mahsin,
Putrajaya

Source: Berita Harian

×