loader image
INFO MAHA

Mohd. Aziz tak sangka dapat hadiah bar emas dari NAFAS

News

Mohd. Aziz tak sangka dapat hadiah bar emas dari NAFAS

KUALA LUMPUR- Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu.

Itu gambaran kepada pemenang pertama bar emas 50 gram, Mohd. Aziz Mohd Rawi sempena cabutan bertuah pada hari terakhir MAHA 2022 baru-baru ini.

Kakitangan kerajaan berusia 38 tahun itu menerima hadiahnya yang disumbangkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini.

Mohd Aziz Mohd Rawi.

“Saya petugas di MAHA 2022. Tapi hanya bertugas tiga hari sahaja. Saya isi suka-suka. Banyak juga peraduan lain yang saya sertai di MAHA ini.

“Saya sangat teruja dan tak sangka menjadi individu paling bertuah dari 20,000 penyertaan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat NAFAS dekat sini hari ini.

Mohd Aziz berkata, hadiah tersebut akan disimpan sebagai kenang-kenangan MAHA 2022 dan lebih-lebih lagi ia merupakan simbolik 50 tahun NAFAS.

Majlis penyampaian hadiah Cabutan Bertuah MAHA 2022 kepada para pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Hadir sama barisan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Pemangku Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim.

Sementara itu, pemenang telefon bimbit Samsung S20, Chew Lin Lin, 52, dari Klang juga tidak menyangka dengan hanya satu borang sahaja diisi dia berjaya memperoleh hadiah kedua.

“Saya pegi MAHA 2022 dengan suami dan dua anak pada 8 Ogos lalu. Kami sekeluarga memang setiap kali ada MAHA atau HPPNK kami akan pergi.

“Sangat seronok kerana ini pertama kali saya sertai peraduan. Tak sangka nama dicabut menjadi pemenang,”katanya.

Selain dua penerima itu, para pemenang hadiah lain iaitu Samsung A52, basikal lipat, seterika stim, Samsung Tab dan televisyen turut hadir menerima hadiah.

NAFAS menganjurkan Cabutan Bertuah dengan peraduan jawab dan menang bermula 4 hingga 14 Ogos 2022 di reruai NAFAS, Dewan A, Maeps, Serdang.

Cabutan telah diadakan pada hari terakhir MAHA 2022 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid dan ia disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook NAFAS.

Dalam pada itu, Zamri berkata, NAFAS berterima kasih kepada para pengunjung yang hadir ke reruai pihaknya dan menyertai peraduan yang dianjurkan.

“Terima kasih kepada para pengunjung selama 11 hari berlangsungnya MAHA. Semoga pengunjung mendapat manfaat dengan penganjuran MAHA kali ini,”katanya. – MalaysiaGazette

Source: Malaysia Gazette

×