loader image
INFO MAHA

Nilai jualan laman ternakan MAHA 2022 lebihi sasaran

News

SERDANG – Jumlah nilai jualan di kesemua lima zon Laman Ternakan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 telah melebihi RM2.4 juta dengan purata kunjungan harian 30,000 orang, setakat 11 Ogos.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal iaitu RM2 juta.

“Lembu sado yang sememangnya tarikan utama pengunjung menjadi penyumbang tertinggi prestasi berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai penutup tirai Laman Ternakan, jualan lelong ayam serama akan diadakan di zon Avian Valley pada hari terakhir MAHA 2022, esok.

Mohd Termizi berkata, orang ramai juga boleh berkunjung ke zon Livestock Show Valley di Laman Ternakan untuk menyaksikan demonstrasi permanian beradas, pemeriksaan kebuntingan serta pengumpulan dan analisis semen kambing dan bebiri pada dua hari terakhir MAHA 2022.

“Bagi pameran lembu penjantan baka dan teknologi penternakan pintar, pengunjung boleh ke zon Livestock Fair Valley dan Garden Hall,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengunjung untuk ke zon Pet Valley, dengan mereka boleh bermesra, bergambar dan memberi makan kepada haiwan pada kadar bayaran berpatutan. – Bernama

Source: Sinar Harian

×