loader image
INFO MAHA

Nafas perkenal jentera premium pelbagai fungsi di MAHA 2022

News

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperkenalkan jentera pertanian baharu di bawah jenama CASE IH sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Laman Mekanisasi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) berlangsung sehingga Ahad ini.

Pengurus Bahagian Kejenteraan Nafas, Mohammad Fauzie Tamin berkata, model dipasarkan adalah JX Straddle, Farmall JX dan Farmall JXM iaitu jentera pelbagai fungsi dan mampu memudahkan aktiviti kerja golongan petani serta peladang sebanyak 80 peratus.

Beliau berkata, jentera tersebut direka khusus untuk kegunaan kerja-kerja lasak seperti di sawah, ladang sawit dan kawasan pertanian.

“Golongan petani juga dapat menjimatkan kos operasi mereka berikutan tidak lagi perlu menggunakan jentera berbeza untuk kegunaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jentera pertanian berkualiti premium itu direka bagi memenuhi kehendak pengguna untuk kapasiti kawasan ladang atau sawah berskala kecil dan besar.

“Bagi kegunaan di kawasan sawah, jentera ini boleh digunakan untuk aktiviti seperti membaja, menyemai, mengangkut barang-barang baja dan lain-lain manakala kawasan ladang sawit dan kawasan pertanian, ia turut digunakan untuk tugas-tugas lasak seperti mengangkut buah, tanaman, meracun dan sebagainya,” katanya.

Mohammad Fauzie berkata, jentera pertanian jenama CASE IH itu mendapat permintaan memberangsangkan dengan sebagai permulaan, 39 unit telah diimport dan 22 unit terjual.

Nafas menjadi pengedar traktor jenama itu bermula Mei 2021 dan diberi hak eksklusif sebagai ejen jualan, pengedar alat ganti dan servis pembaikian bagi model dan barang-barang di bawah jenama tersebut di Malaysia. – Bernama

Source: Sinar Harian

×