loader image
INFO MAHA

Nafas hasilkan baja sebatian galak orang ramai bertani

News

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah melihat baja semasa melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Baja Berskala Kecil Untuk Tanaman Isi Rumah sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2022.

SERDANG – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berjaya menghasilkan baja sebatian untuk kegunaan pertanian orang ramai di peringkat bawahan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, baja sebatian 65 dan 45 berskala kecil itu merupakan satu lagi kejayaan yang Nafas dalam usaha menggalakan lebih ramai terlibat dengan aktiviti bercucuk tanam.

Katanya, baja tersebut dijual pada harga RM10 untuk sekilogram dan boleh didapati di semua outlet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diseluruh daerah dan negeri termasuk Sabah dan Sarawak bermula hari ini.

“Kita yakin pengeluaran baja ini adalah bertepatan bagi menggalakkan seluruh rakyat terutama suri-suri rumah bercucuk tanam dan melibatkan diri dengan pertanian.

“Baja pertanian berskala kecil ini dalah bertepatan dengan masanya selain daripada NAFAS menjadi satu daripada organisasi yang membekal baja kepada petani-petani…sekarang ia telah keluar untuk sama-sama membantu kepada golongan bawahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Produk Pembajaan Berskala Kecil jenama Peladang keluaran NAFAS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Pemangku Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim dan Pengurus Besar NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB), Zalifudin Md. Arshad.

Ahmad berkata, baja berkenaan dikilangkan di NBKSB dan MNFSB yang merupakan syarikat subsidiari NAFAS.

Untuk rekod, Baja Sebatian 65 dan 45 keluaran NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) ini merupakan baja bagi memenuhi keperluan tanaman isi rumah yang berkualiti tinggi dan diproses di kilang baja Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di Gurun, Kedah.

Baja Tumbesaran Umum Sebatian 65 dan Baja Formulasi Hasil dan Tumbesaran Sebatian 45 merupakan baja bagi menggalakkan pengeluaran bunga dan buah yang berkualiti, membantu batang pokok menjadi kuat dan meningkatkan pertumbuhan akar aktif.

Baja tersebut dihasilkan melalui proses granulasi wap dan mengandungi keperluan nutrien utama yang lengkap mengikut formulasi baja.

Baja jenama Peladang itu mendapat pensijilan dan diakreditasi dengan ISO 9001:2008, Standards Malaysia Accredited Laboratory (2006) dan juga SIRIM.

Bukan sahaja di outlet-outlet milik PPK, malah produk berkenaan juga boleh didapati di kedai-kedai input rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) meliputi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta kedai-kedai input terpilih di seluruh Malaysia serta boleh juga didapati melalui platform jualan dalam talian, shopee.

Sumber: Malaysia Gazzete

×