loader image
INFO MAHA

MAHA 2022: Digimon, Pokemon, Ultraman seramik hasil tangan Izzue Craft

News

Pemilik Izzue Craft, Izuddin Isham melakukan demoNstrasi penghasilan figurine seramik dari tanah liat di Pavilion Perak pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO

SERDANG: Minat dan kesungguhan yang mendalam terhadap seni kraf mendorong seorang pemuda untuk menghasilkan pelbagai seramik buatan tangan yang jarang dilihat dan dipamerkan.

Pengusaha labu sayong dan seramik, Izuddin Isham, 29, berkata, kecintaannya terhadap seni itu bermula sejak dari kecil dengan bermain permainan tanah liat sebelum menyambung pelajaran dalam bidang Seni Kraf Seramik di Institut Kraf Negara (IKN).

Menurut pemilik kedai Izzue Craft itu, dia menggemari pelbagai siri kartun dan anime dari Jepun dan menzahirkan kreativitinya dengan menghasilkan figurine (patung kecil) dari siri-siri seperti Digimon, Pokemon serta Ultraman.

“Produk dihasilkan sekarang memang apa yang saya minat sejak dari kecil terutamanya replika berbentuk dinasour dari siri Ultraman.

“Saya juga banyak menerima tempahan khas dari pelanggan dan pernah menjual figurine berbentuk Godzilla setinggi kira-kira 0.3 meter pada harga RM700,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pavilion Negeri Perak, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Dalam masa sama, Izuddin turut berkongsi rasa teruja apabila diberi peluang untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 buat julung kali dan bertemu dengan ramai pengunjung dari serata negeri.

Jelas Izuddin, dia mampu menghasilkan kira-kira 10 ekor figurine bersaiz sederhana dalam masa sehari manakala figurine bersaiz mini sebanyak 30 ekor.

“Kesemua seramik berbentuk figurine ini 100 peratus dibentuk menggunakan tangan tanpa sebarang sokongan dawai dan itu merupakan antara cabaran untuk melengkapkan sesuatu produk.

“Bagi proses mewarna pula, saya gunakan warna ‘stain’, ‘shining glaze’ dan ‘matte glaze’ yang dilakukan selepas proses pembakaran sama ada menggunakan berus, teknik semburan atau celupan mengikut kesesuaian bahan dan permintaan,” ujarnya.

Bagi peminat figurine yang ingin mendapatkan produk seramik tersebut, boleh lah berkunjung ke Pusat Inkubator Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak atau membelinya secara dalam talian di My Craft Shop.

Sumber: Utusan

×