loader image
INFO MAHA

MAHA 2022 bakal tarik 100,000 pengunjung sehari

News

KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan diadakan pada 4 sehingga 14 Ogos ini, dijangka dapat menarik kehadiran 100,000 pengunjung setiap hari.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata program yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) itu menyediakan sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan termasuk 100 lot jualan ‘Farmers Market’ yang menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan.

Selain itu katanya, terdapat juga seminar dan konvensyen agromakanan, pengoperasian laman dan rumah negeri serta pameran makanan popular di Malaysia.

“Berdasarkan kepada sasaran ini dan tempoh penganjuran promosi serta publisiti yang dirangka, MAHA 2022 mampu memberi impak besar dan akan menyokong kepada jangkaan sasaran lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan termasuk padanan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian ‘Flag Off’ Iklan Transit Aliran Massa (MRT) Bagi Program Promosi dan Publisiti MAHA 2022 di Stesen MRT Taman Suntex, Batu 9, Cheras, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.

Berkenaan promosi yang diadakan di MRT, Ronald berkata, ia adalah sebahagian daripada aktiviti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mempromosi MAHA 2022.

Katanya, pihaknya memilih laluan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang kerana laluan berkenaan mempunyai 29 stesen selain terdapat 58 MRT dan 25 pasar raya berdekatan sepanjang laluan.

“Sebelum pandemik COVID-19 jumlah penumpang bagi laluan ini adalah sekitar 5.3 juta sebulan dan ketika ini anggaran penumpang adalah sekitar 3.3 juta namun dijangka meningkat selepas pembukaan laluan baharu iaitu Putrajaya.

“MAFI yakin usaha ini mampu membantu untuk melonjakkan impak kepada promosi dan publisiti MAHA 2022,” katanya.

Beliau berkata, MAHA 2022 mempunyai tarikan tersendiri kerana ia adalah pameran pertanian terbesar dan berprestij yang akan menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian dengan teknologi terkini, inovasi tempatan dan luar negara, strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pelbagai lagi pendekatan yang mampu membantu sektor itu.

Katanya, MAHA 2022 akan memberikan penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan bagi menggalakkan penyertaan syarikat swasta dalam dan luar negara.

“Bagi mengimbangi daya tarikan pengunjung, turut diadakan adalah Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPKNK) menerusi pameran hasil dan produk pertanian oleh peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani,” katanya.

Berkenaan konsep MAHA 2022 dengan tema Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan pula katanya, ia akan diadakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya.

Sementara itu, apabila ditanya berkenaan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diadakan semalam, Ronald berkata mesyuarat yang disertai oleh Timbalan Menterinya itu setakat ini belum membentangkan sebarang kertas kerja tertentu.

Source: Berita Harian

×