loader image
INFO MAHA

MAHA 2022: 26 MoU dimeterai, nilai pelaburan lebih RM5 bilion

News

SERDANG – Sebanyak 26 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan nilai pelaburan lebih RM5 bilion ditandatangani sejak berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Khamis lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya menyasarkan nilai pelaburan melalui MoU melebihi RM6 bilion sepanjang penganjuran MAHA 2022 yang akan berakhir Ahad ini.

“Kita jalin MoU dengan entiti perniagaan sama ada dalam negara dan luar negara, yang terbesar adalah pelaburan dalam industri ternakan lembu antara pengusaha dari Timur Tengah bersama pemain industri tempatan berkaitan ternakan lembu di Chuping, Perlis yang dijangka menjana pulangan lebih daripada RM4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada program Wacana Dr Radzi Jidin Ekplorasi Dunia Pertanian sempena MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.

Dalam pada itu, Ronald berkata, transaksi jualan yang direkodkan setakat Rabu sama ada secara jualan langsung atau dalam talian mencecah RM163 juta dan sasaran nilai jualan sepanjang MAHA 2022 adalah RM250 juta.

“Setakat semalam, seramai 800,000 pengunjung telah berkunjung ke MAHA 2022 termasuk secara maya, kita sasar 1.1 juta pengunjung dan sasaran ini mungkin dicapai sama ada esok atau Sabtu ini.

Ronald berkata, hadiah istimewa akan diberikan kepada pengunjung ke 750,000; 850,000 dan ke sejuta.

Sumber: Sinar Harian

×