loader image
INFO MAHA

Inovasi Bernas, FGVIF hasilkan makanan ternakan berjenama Alma

News

FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) melancarkan makanan ternakan ayam kampung di bawah jenama Alma yang merupakan sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk meyumbang kepada agenda Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara.

Penghasilan makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada formulasi baharu menggunakan produk sampingan kilang pemprosesan padi dan beras itu telah dibangunkan bersama FGV dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Pengarah Urusan Kumpulan Bernas, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, inisiatif tersebut dijangka mengurangkan seba­nyak 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung yang diimport.

“Dengan pengeluaran makanan ternakan ayam kampung berkhasiat ini, negara akan dapat mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan ayam, seterusnya memastikan ketersediaan produk dan dijual pada kadar yang lebih rendah.

“Kerjasama dengan FGVIF dalam pengeluaran makanan haiwan ini adalah sumbangan kami ke arah menangani isu ke­selamatan makanan negara dan menambah nilai kepada produk sampingan serta hasil pempro­sesan padi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran Alma yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Serdang baru-baru ini.

Haris Fadzilah menjelaskan, melalui kerjasama tersebut, Bernas menyasarkan untuk menawarkan makanan ternakan berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk memastikan harga ayam dan daging lembu dijual pada kadar berpatutan.

Ketika ini, Malaysia mengeluarkan kira-kira lapan juta ekor ayam kampung setiap tahun dan hampir 10 peratus daripada pengeluaran itu dieksport ke Singapura, manakala selebihnya diedarkan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang.

Potensi bekalan makanan ternakan untuk industri ini dijangka mencapai sebanyak 32,000 tan metrik setahun.

Bersempena majlis pelancaran, FGV turut mengumumkan produk ayam kampung segar yang dipasarkan di bawah jenama Ladang’57 dan boleh didapati di pasar raya besar AEON BiG di seluruh negara.

Source: Kosmo

×