loader image
INFO MAHA

Ikan tuna Semporna jadi tumpuan

News

Chef Ismail menunjukkan demonstrasi melapah ikan tuna sirip kuning berharga RM5,600. FOTO Aizuddin Saad.

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

Serdang: Laman Agro-Food Perikanan di MAHA 2022 menjadi tumpuan pengunjung apabila julung kalinya mempersembahkan demonstrasi melapah ikan tuna.

Ikan Tuna Sirip Kuning Gred Triple A seberat 70 kilogram yang ‘diterbangkan’ khas dari Semporna, Sabah itu bernilai RM5,600, bukan sahaja dinantikan pengunjung dewasa, malah kanak-kanak.

Chef Ismail Mustafa dari Melaka juga dipilih untuk menunjukkan demonstrasi melapah ikan tuna dengan sempurna serta memberi penerangan bagi setiap potongan dan nilai pasaran ikan laut dalam itu.

Menariknya, acara yang paling dinantikan pengunjung apabila orang ramai dipelawa menikmati isi ikan tuna mentah bersama sos ramuan istimewa chef itu secara percuma.

Pengunjung cilik, Umar Nazhan Azman, 12 dari Sabak Bernam melahirkan rasa teruja kerana pertama kali merasa tuna mentah segar itu.

“Saya datang bersama keluarga dan tak sangka di sini (Laman Agro-Food Perikanan) ada demonstrasi potong ikan tuna besar.

“Sebelum ini, saya tak pernah rasa ikan tuna mentah, ini pertama kali dan rasanya sedap serta segar,” katanya yang turut berkunjung ke Galeri Sea of Life dan Galeri Ikan Hiasan.

Bagi Marsitah Ahmad, 45, dia yang berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 bersama rakannya memilih untuk melawat Laman Agro-Food Perikanan terlebih dahulu.

Katanya, pertama kali dia melihat ikan tuna dilapah dan disaji mentah kerana kebiasaannya hanya ikan salmon dilapah dan disaji sedemikian rupa.

“Ini pengalaman baru bagi saya dan rasanya juga enak dan tidak hanyir. Pada mulanya, saya agak takut untuk mencuba, tetapi memikirkan bila lagi akan dapat peluang seperti ini, saya beranikan diri makan.

“Tak sangka juga ikan tuna ini yang nilainya ribuan ringgit dan enak dimakan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Malaysia menyatakan hampir 80,000 pengunjung meluangkan masa ke Laman Agro-Foof Perikanan sempena MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini.

Eskpo MAHA 2022 yang bermula dari 4 hingga 14 Ogos itu turut mencatatkan nilai jualan sebanyak RM280,000.

Kolam pancing udang galah pula menjadi tempat yang tumpuan pengunjung sejak hari pertama MAHA 2022 dibuka kepada orang ramai.

Source: Harian Metro

×