loader image
INFO MAHA

Empayar Makanan MAHA 2022 diserbu orang ramai

News

MENU oyster yang viral menjadi tarikan utama di Empayar Makanan sempena MAHA 2022 di MAEPS, Serdang.

SERDANG – Orang ramai tidak melepaskan peluang menyerbu kluster Empayar Makanan yang menjual pelbagai jenis makanan dan hidangan lazat sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Kluster di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu menampilkan pelbagai hidangan dari seluruh negara meliputi makanan warisan, makanan viral dan trak makanan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai tidak putus mendapatkan hida­ngan seperti Nasi Ganja Pegheleh, Oyster Viral serta makanan warisan Sabah dan Sarawak seperti sagol, daging kilau dan mi kolok.

Pengusaha Nasi Ganja Pegheleh, Marsuhaini Ahmad Saufi berkata, dia tidak menyangka hidangan nasi ganja yang popular di negeri Indera Kayangan itu menerima sambutan yang memberansangkan lebih-lebih lagi menjelang minggu akhir penganjuran MAHA 2022.

“Kami tidak sangka, dari hari pertama orang ramai tidak henti-henti menyerbu gerai kami. Setakat hari ini, jualan kami dianggarkan sudah mence­cah RM35,000.

“Berikutan itu, kami nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana kembalikan penganjuran MAHA untuk tahun ini yang mana ia membuka peluang kepada para usahawan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, pemilik gerai Oyster Viral, Emy Nur Zairi berkata, keputusannya menyediakan hidangan oyster atau tiram sebahagian jualan di sini adalah tindakan yang tepat.

“Sebelum ini, saya banyak kali tukar jenis makanan, namun oyster ini seperti mendapat tempat di hati pengunjung.

“Mungkin kalau di luar, makanan ini dihidangkan di tempat yang mahal dan memiliki harga tinggi. Namun, di sini kita berikan sedikit kelainan di mana kita sajikan oyster mentah, bakar dan campuran keju dengan harga yang lebih berpatutan iaitu antara RM6 hingga RM7,” katanya.

Bagi seorang pengunjung, Ireina Izwan, 24, meluahkan perasaan teruja untuk mencuba Oyster Viral buat kali pertama.

“Saya memang dah lama nak cuba sebab selalu tengok di media sosial. Jadi memang tujuan datang ke MAHA 2022 untuk lihat dan cuba pelbagai jenis makanan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kluster Empayar Makanan, Siti Nurul Haida Ibrahim berkata, sebanyak 63 usahawan di bawah kluster Empayar Makanan dengan 679 menu ditonjolkan kali ini.

“Empayar Makanan mempu­nyai tarikan yang kuat yang mana kita tampilkan pelbagai keistimewaan serta menyajikan hidangan dari Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

“Selain memenuhi kehendak masyarakat hari ini yang mahukan makanan tradisional dan makanan viral, kluster ini juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada usahawan,” katanya.

Tambah Nurul Haida, maklum balas yang diterima baik daripada usahawan mahupun pengunjung sepanjang tempoh penganjuran sehingga semalam adalah positif.

“Setakat 10 Ogos, jualan di bawah Empayar Makanan berjaya merekodkan lebih RM1.4 juta jualan terkumpul,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

×