loader image
INFO MAHA

Castle of Fruits di MAHA 2022 capai nilai jualan RM3.3 juta, hampiri sasaran RM4 juta

News

(Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengadakan lawatan ke jualan 'happy hour' di perkarangan Castle of Fruits MAHA 2022)

SERDANG, 13 Ogos – Sebanyak RM3,379,786 nilai jualan telah dicapai bagi Castle of Fruits di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 sehingga 11 Ogos 2022.

Angka tersebut semakin hampir mencapai sasaran jualan keseluruhan iaitu sebanyak RM4 juta

Menteri Pertanian dan Industri Makanan , Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang mengadakan lawatan ke jualan ‘happy hour’ di perkarangan Castle of Fruits MAHA 2022 menyifatkan ia satu pencapaian yang positif.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Selain itu, Castle of Fruits juga telah menerima kunjungan seramai 246,076 pengunjung.

Ia secara tidak langsung telah melepasi sasaran pengunjung keseluruhan iaitu sebanyak 180,000 pengunjung sehingga pameran berskala besar itu berakhir pada Ahad nanti.

Antara produk yang ditawarkan ketika ‘happy hour’ berlangsung adalah buah cempedak, melon manis Terengganu, anak pokok durian jenis Musang King dan juga baja.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa sebanyak 82 usahawan dan 99 gerai di bawah Castle of Fruits yang berlangsung di Laman Tiba 1, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di mana ia bukan sahaja menjual buah-buahan tetapi turut memberi input-input lain kepada pengunjung.

Source: Berita RTM

×