loader image
INFO MAHA

Jak bernilai RM35,000

News

SAZWAN (kiri) bersama lembu jantan baka limosin, Jak. FOTO AIZUDDIN SAAD

Serdang: “Kalau ada pembeli, kami akan jual Jak pada harga RM29,000 sempena hari terakhir di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022,” kata penjaga lembu jantan baka limosin (Jak), Sazwan Che Daud, 33.

Sazwan yang sudah menjaga Jak sejak lahir berkata, nilai lembu yang mempunyai berat lebih 900 kilogram itu dianggarkan lebih kurang RM35,000.

Katanya, Jak berusia tiga tahun tiga bulan dari Pasir Puteh, Kelantan itu menjadi daya tarikan di Laman Ternakan, G2G Valley MAHA 2022.

“Pengunjung selalu bertanya berapa berat dan harga Jak, apabila saya beritahu harga sebenar ramai yang terkejut.

“Saya jaga Jak dengan baik dan untuk makanannya sahaja, kos perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan diperuntukkan dan makanan hariannya adalah rumput dan dedak.

“Saya ada bela dan jaga 10 lembu baka limosin ini dan paling manja dengan Jak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setakat ini sudah ada beberapa orang yang berminat untuk membeli Jak dan harga pula masih dalam rundingan.

Bagi pengunjung, Ridzan Abdul Sahir, 45 dari Klang berkata, tujuan dia membawa anak-anak ke MAHA 2022 memang untuk melihat sendiri lembu jantan baka limosin itu.

“Anak-anak teruja, tidak sabar untuk pegang dan melihat sendiri Jak secara dekat.

“Beberapa hari lalu, saya ada datang membawa mereka tetapi tak dapat masuk kerana terlalu sesak dan ramai orang.

“Hari terakhir ini baru berkesempatan bawa keluarga ke MAHA 2022 dan terus singgah ke sini, berbaloi sebab anak-anak suka,” katanya.

MAHA 2022 dianjurkan selama 11 hari bermula 4 Ogos lalu, menyaksikan penyertaan lebih 1,500 pempamer, dengan sasaran lebih sejuta pengunjung dan RM250 juta potensi nilai jualan.

Source: Harian Metro

×