loader image
INFO MAHA

Terus tumpu pemodenan agromakanan

News

KUALA LUMPUR 06 OGOS 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melawat pameran ketika majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Malaysia Agro Exhibition Park (MAEPS), Serdang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Serdang: Pemodenan dan pertanian pintar adalah penyumbang utama untuk transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia memfokuskan pendekatan baharu berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

Malah, katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), agenda pemodenan dan pertanian pintar juga antara fokus utama dalam memacu sektor agromakanan negara yang mampan, berdaya tahan dan berpacukan teknologi.

“Dalam hal ini, kerajaan akan memberi tumpuan yang berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara di samping memacu pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan sentiasa mengolah pelbagai inisiatif dan usaha untuk menjamin kemampuan rakyat memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan untuk Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta turut menyampaikan Anugerah Agro Maha 2022.

Ronald Kiandee berkata, pameran Maha 2022 yang diadakan selama 11 hari bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos membabitkan penyertaan lebih 1,500 petak pempamer dan menyasarkan 1.1 juta pengunjung dengan RM250 juta potensi nilai jualan.

“Saya yakin, penganjuran Maha 2022 kali ini lebih dekat dengan masyarakat terutamanya menarik minat anak muda untuk terus menceburi sektor agromakanan dengan tenaga kerja yang lebih mahir dan mengaplikasi kepakaran teknologi moden yang tinggi.

“Pada masa sama, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada kebajikan Keluarga Peladang, Penternak dan Nelayan yang adalah tulang belakang kepada sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata, seperti kejayaan penganjurannya yang lalu, Maha 2022 kali ini juga menawarkan rangkaian kenalan perniagaan baharu bagi mempelajari

kaedah dan inovasi pertanian terkini supaya masyarakat pertanian Malaysia cakna serta dapat mengambil bahagian dalam gerakan menerajui revolusi pertanian era IR 4.0 yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, pemilihan tema Maha 2022 ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ adalah tepat dan selari dengan komitmen kerajaan yang terus memberi tumpuan dalam agenda memperkukuh sekuriti makanan negara.

“Pada tahun ini, Maha 2022 yang meliputi 22 segmen menjadi lebih istimewa kerana ia diadakan secara ‘hibrid’ buat pertama kalinya, di mana acara platform langsung dan maya digabungkan.

“Diharapkan melalui gabungan pengalaman seunik ini, sektor agromakanan akan mendapat tambahan momentum dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk negara,” katanya.

Beliau berkata, objektif utama penganjuran Maha adalah mempromosikan sektor agromakanan dan industri makanan dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh aensi kerajaan dan swasta.

Menurutnya, Maha turut memberi sorotan utama kepada keseluruhan ekosistem dan rantaian nilai sektor pertanian selain menyediakan ruang untuk mempamerkan peluang perniagaan ditawarkan industri agromakanan yang sedang berkembang pesat.

Source: Harian Metro

×