loader image
INFO MAHA

Nilai jualan MADA RM197,080

News

SERDANG: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM197,080 di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022.

Pengurus Besarnya, Kamarudin Dahuli berkata, MADA terlibat dengan pelbagai kluster di MAHA 2022 antaranya adalah Agro Lifestyle, Agro Business, Agro Tourism, Agro Youth, Agro Edutainment dan Pavilion Kedah.

Menurut beliau, sambutan yang diterima oleh MADA daripada pengunjung amat baik kerana menawarkan penglibatan untuk mereka yang hadir mengalami pengalaman tersendiri dalam aktiviti-aktiviti berunsurkan pertanian.

“Kalau kita tengok pencapaian MADA untuk kluster Agro Lifestyle, pengunjung yang melawat kepada kluster kini adalah lebih daripada 32,652 orang dengan menawarkan 44 aktiviti menarik dan kita berjaya membawa keuntungan sebanyak RM103,536 sehingga semalam (kelmarin).

“MADA juga ada menjemput lima orang usahawan yang terlibat dengan kluster Agro Business, produk-produk mereka dibawa kepada MAHA untuk pengunjung. Istimewanya adalah produk tersebut berjaya mendapatkan pensijilan dan ada yang layak untuk dieksport ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MAHA 2022 berlangsung selama 11 hari bermula dari 4 Ogos lalu sehingga semalam dengan penawaran 22 segmen melibatkan sebanyak 1.28 juta pengunjung secara fizikal dan hibrid sejak kelmarin dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM25.4 juta.

Mengulas lebih lanjut, Kamarudin berkata, usahawan-usahawan dibawa oleh badan tersebut berjaya mencapai kecemerlangan apabila terdapat ejen yang berminat untuk membeli atau mendapatkan produk mereka bagi dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Ia adalah satu pertemuan yang baik antara usahawan MADA dengan pihak-pihak yang berminat untuk memasarkan produk tersebut kerana ia akan membantu pembangunan dan perkembangan usahawan itu sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, empat orang usahawan MADA lain ditempatkan di kluster Agro Pelancongan untuk memperkenalkan produk-produk yang agak eksotik atau jarang didapati di kebanyakan tempat dalam negara.

“Contoh produknya adalah, nira nipah yang memang sukar untuk didapati di tempat lain. Jadi kita bawa ke sini, bukan sahaja membolehkan pengunjung merasai produk tersebut, tetapi mungkin membuka peluang berniaga di Kuala Lumpur.

“Kita juga mempunyai laman Agro Food Mekanisasi yang kita pamerkan jentera-jentera mekanisasi yang digunakan dalam industri pertanian. Jadi, untuk kali ini, kita membawa jentera pengumpul jerami padi. Kita tidak perlu bakar ia lagi, tetapi boleh dikumpul dan dijadikan sebagai makanan ternakan,” katanya.

Tambahnya, MADA juga membawa teknologi-teknologi yang membantu dalam menjalankan aktiviti pertanian secara praktikal dan boleh diadaptasikan oleh peladang serta pesawah negara. – UTUSAN

Source: Utusan

×