loader image
INFO MAHA

FAMA yakin capai jualan RM7 juta pada MAHA 2022

News

Zainal Abidin di hadapan pusat jualan bagi kluster Castle of Fruits yang menjadi penyumbang terbesar iaitu RM3.34 juta.

Oleh DIANA AZIS Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

SERDANG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) optimis mampu mencapai sasaran jualan secara langsung RM7 juta pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, menerusi enam kluster pameran di bawah agensinya.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali berkata, enam kluster iaitu AgroTrade, Empayar Makanan, Food Truck, Agro Bazaar, Castle of Fruit dan AgroBazar Online menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah kutipan jualan setakat Jumaat RM5.9 juta.

“Sasaran FAMA adalah RM7 juta untuk jualan langsung melibatkan semua kluster yang dinyatakan, tidak termasuk padanan perniagaan. Sehingga semalam (Khamis) kita telah mencapai 84 peratus atau RM5.9 juta dari sasaran asal yang ditetapkan.

“Penyumbang terbesar adalah daripada kluster Castle of Fruits iaitu RM3.34 juta dan kedua, Empayar Makanan dengan kutipan RM1.71 juta diikuti Food Truck (RM509,000), AgroTrade (RM270,000), AgroBazar Online (RM31,000) dan KopiSatu (RM73,000).

“Saya lihat pencapaian FAMA di MAHA pada kali ini amat baik dan menjangkakan boleh mencapai atau melebihi sasaran ekoran trend jualan harian bukan hujung minggu adalah RM800,000 hingga RM900,000. Pada Sabtu dan Ahad, jualan boleh capai lebih RM1 juta,” katanya sepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas mengenai kluster tumpuan iaitu Castle of Fruits, ia menyediakan 11,111 variasi produk merangkumi buah-buahan tempatan, sayur-sayuran, florikultur dan input pertanian melibatkan 80 lot jualan.

Katanya, FAMA turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke kenderaan menggunakan motosikal tiga roda bagi memudahkan pengunjung membeli-belah secara pukal dengan bayaran perkhidmatan RM5 sahaja.

Mengenai inisiatif padanan perniagaan, Zainal Abidin memaklumkan tiga perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM451 juta telah dimeterai bagi membantu golongan peniaga meluaskan skop perniagaan mereka.

Katanya, kerjasama strategik itu mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meneroka pasaran eksport produk berasaskan agromakanan ke luar negara antaranya China dan Jepun.

Sementara itu, FAMA akan menyertai Malaysia Fest 2022 yang akan berlangsung di Singapura pada 25 hingga 28 Ogos ini dengan sasaran jumlah jualan terkumpul sebanyak RM7 juta.

“Setakat ini, 203 daripada 217 reruai telah ditempah dan sukacita saya kongsikan bahawa empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam pameran berkenaan.

“Malaysia Fest 2022 tidak hanya tertumpu kepada agromakanan tetapi meliputi pelancongan, fesyen dan sebagainya yang melibatkan industri di Malaysia.

“FAMA menyasarkan jualan pada tahun ini sebanyak RM7 juta dengan potensi jualan berjumlah RM15 juta. Insya-ALLAH ia akan dicapai,” katanya.

Source: Sinar Harian

×