loader image
INFO MAHA

Artis sebar mesej perpaduan di MAHA 2022

News

Menyemarak semangat perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi matlamat program Semarak Uniti Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Diterajui Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, program berkenaan bertepatan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Selain itu, program Semarak Uniti Keluarga Malaysia KPN yang berlangsung antara 4 hingga 14 Ogos itu turut menampilkan barisan artis popular seperti Amira Othman, Fara Fauzana, Dina Nadzir, Zara Zya, Angeline Tan, Mark Adam, Kencana Dewi, Memey Suhaiza, Norman Hakim, Lan Solo, Syafiq Farhain, Bell Ngasri, Ismail Izzani, Datin Anne Ngasri, Anita Baharom, Rhys William, DJ Sonik dan Khairul Jamaen.

Ketua Komunikasi Korporat KPN, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, karyawan seni yang terdiri daripada artis dan selebriti media sosial akan berada di gerai pameran KPN bagi mempromosikan aktiviti serta pengisian pameran.

Katanya, pembabitan karyawan seni membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan mereka sangat tinggi, selain mempromosikan bakat seni yang mampu dijadikan peranan sebagai ejen perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Antara perkongsian menarik membabitkan Mark Adam. Dia berasal dari Filipina akan tampil dalam sesi pertemuan untuk berkongsi keunikan masyarakat setempat kepada pengunjung.

“Selain itu, artis lain juga tidak ketinggalan berkongsi aspek perpaduan dan semangat cintakan tanah air menerusi program Semarak Uniti Keluarga Malaysia KPN,” katanya kepada BH Online.

Penampilan barisan artis boleh ditonton secara langsung menerusi laman Facebook KPN, https://www.facebook.com/PerpaduanNegara.

Tengku Khalidah berkata, pembabitan artis dan selebriti media sosial akan dapat membantu mempromosi program Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang menjadi platform integrasi, sekali gus, mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bermula dari peringkat akar umbi.

“Inilah pendekatan ditekankan KPN bagi memastikan program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Antara aktiviti menarik, termasuk pameran projek Ekonomi KRT seperti pertanian dan penternakan akuaponik, hidroponik, tanaman pasu dan pameran produk keluaran KRT seperti sos cili warisan, kerepek, mini popia, sambal hitam, madu kelulut serta pop corn.

Source: Berita Harian

×